Digelar Aristoteles
kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti
Plato dan Aristoteles mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli
falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan
pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu
Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H)
di Transoxia yang terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan
seorang anggota tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya
daripada mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab
di bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.
Selepas beberapa waktu, beliau
berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke Halab. Semasa di sana,
beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham
sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah
menjadikan beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan
dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada
mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang
miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).
Walaupun Al-Farabi merupakan seorang
yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang
ilmuwan yang cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai
bahasa.
Selain itu, dia juga merupakan seorang
pemuzik yang handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung
kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau
juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu,
malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang
perubatan, sains, matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai
seorang ilmuwan yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya
dalam bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan
Ibnu Rusyd.
Dalam membicarakan teori politiknya,
beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu.
Sebarang percubaan dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan
melahirkan sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh
itu, akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah
negara yang kuat, stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai
falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk
menghasilkan teori serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah,
Al-Farabi dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia
juga merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara
teratur dalam bahasa Arab.
Meskipun pemikiran falsafahnya banyak
dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato yang
menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.
Menurut Al-Farabi, seorang ahli
falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politlk.
Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah
yang sempurna.
Tanpa sains, seorang ahli falsafah
tidak mempunyai cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang
lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang
perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya
merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau
mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli
falsafah.
Pandangan falsafahnya yang kritikal
telah meletakkannya sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam
kalangan ahli falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua.
Bagi Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada
kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan Al-Farabi ini sebenarnya
mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran Confucius yang meletakkan
golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang tertinggi di dalam sistem sosial
sesebuah negara.
Di samping itu, Al-Farabi juga
mengemukakan banyak pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau
menyatakan bahawa keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan
yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran, idea, dan pandangan
Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung dalam karyanya yang berjudul
"Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani
dan falsafah Plato serta Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa*
al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".
Terdapat dua buku tidak dapat
disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci
Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama Muhammad Al
Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan
oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi juga telah menghasilkan
sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan
judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting
dalam bidang berkenaan.
Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen,
Al-Farabi turut memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian
dalam bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya
masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna
terhadap perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah satu pandangannya yang menarik
ialah mengenai betapa jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam
kehidupan manusia. Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh
sedangkan otak hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota
tubuh badan.
Sesungguhnya Al-Farabi merupakan
seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak daripada pemikirannya masih
relevan dengan perkembangan dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu,
pemikirannya mengenai politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di
peringkat universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala
kemelut yang berlaku pada hari ini.

0 komentar:
Posting Komentar